KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) terus membuktikan keupayaan dalam menguruskan Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli di negeri ini apabila pendapatan dividen peserta mencatatkan peningkatan sejak pengambilalihan pengurusan dijalankan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Serii Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak September 2024 sehingga 20 Ogos 2025, sebanyak 20 projek TSK Orang Asli telah selesai diambil alih dengan jumlah keluasan 7,054.05 ekar, melibatkan seramai 1,323 peserta.
Menurutnya, pendapatan dividen peserta tertinggi dicatatkan bagi Projek TSK Orang Asli Teluk Gunung, Lipis di mana setiap peserta menerima bayaran RM1,037 seorang pada bulan Julai 2025, berbanding sekitar RM500 seorang sebelum ini.
Sementara itu, bagi Projek TSK Orang Asli Kampung Arung, Pekan yang mula diambil alih pada 11 September 2024, setiap peserta telah menerima bayaran dividen mencecah RM1,000 seorang pada Disember 2024.
”Bagi Projek TSK Orang Asli Kuala Koyan, Lipis pula, pembayaran dividen pertama pada November 2024 adalah sebanyak RM900 seorang dan meningkat kepada RM1,000 seorang pada Disember 2024.
”Selain itu, projek-projek yang baharu diambil alih pada Ogos 2025 akan mula dibuat pembayaran dividen pertama pada September 2025.
”Peningkatan bayaran dividen ini didorong oleh pengurusan yang lebih berkesan serta kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan, peserta-peserta Projek TSK Orang Asli kini menikmati pendapatan dividen yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu antara RM100 hingga RM500 seorang sebulan.
Peningkatan ini jelas membuktikan bahawa pengambilalihan pengurusan oleh Kerajaan Negeri adalah langkah yang tepat, berkesan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Wan Rosdy berkata kejayaan pengurusan TSK ini adalah bukti nyata bahawa Kerajaan Negeri sentiasa serius membangunkan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli agar mereka tidak lagi terpinggir dalam arus pembangunan negeri.
Kejayaan berkenaan selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, iaitu memastikan pembangunan negeri berteraskan kemakmuran bersama, kesejahteraan terjamin, serta tiada golongan yang ketinggalan dalam arus pembangunan.
”Oleh itu, saya menyeru agar rakyat di Pahang terutamanya masyarakat Orang Asli memberi sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan Negeri, khususnya kepada ORACO untuk terus membela nasib mereka.
”Hanya melalui keyakinan dan sokongan bersama, usaha yang dirancang dapat menjamin masa depan yang lebih baik, lebih terjamin dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















