KUALA LUMPUR – Suara Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pro-Siswa Kolej Komuniti (KK) menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Akta 174, & Akta 555 dan akta pendidikan tinggi lain yang dirujuk sebagai Kumpulan Akta Rantai Mahasiswa (KARAM) kerana akta-akta ini menyekat autonomi pelajar, kebebasan berpersatuan, penglibatan politik, dan hak kepemimpinan mahasiswa secara sistemik.

Sebaliknya, kerajaan diminta mewujudkan satu Akta Pendidikan Tinggi tunggal yang merangkumi semua jenis institusi pendidikan (IPTA, UiTM, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti), supaya sebarang pindaan atau reformasi undang-undang pendidikan adalah selaras, adil, dan inklusif untuk semua mahasiswa.

Mereka mendakwa mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diugut gantung atau dibuang universiti kerana berdemonstrasi.

Manakala ada mahasiswa Universiti Malaya (UM) dihalau daripada melaksanakan program di dalam kawasan institut pengajian tinggi itu.

Malah ada mahasiswa tidak dibenarkan memilih pengurusan universiti dan penuntut Kolej Komuniti diintimidasi kerana berpolitik.

Menurut mereka, ini adalah realiti kehidupan mahasiswa, bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, baru-baru ini yang menyatakan kerajaan sedang memperkasakan autonomi mahasiswa susulan penguatkuasaan pindaan terkini Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Dalam kenyataan hari ini, Suara Siswa UiTM dan Pro-Siswa KK berkata, jika benar sekalipun autonomi mahasiswa sedang diperkasakan, manfaat daripada pindaan AUKU baru-baru ini, ia hanya dirasai oleh mahasiswa di universiti yang berada di bawah AUKU.

Sedangkan, mahasiswa di institusi lain seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Komuniti (KK), Politeknik, dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berada di bawah AUKU masih ketinggalan, walaupun jumlah mereka mungkin lebih ramai berbanding mahasiswa di universiti awam di bawah AUKU.

“Pelajar di IPT ini semua kekal tertindas, tidak boleh melaksanakan program tanpa kelulusan pihak pengurusan, dan sering dikekang oleh peraturan usang seperti “curfew” yang sepatutnya sudah lama dimansuhkan,” dakwa mereka.

Mereka berkata, fenomena ini bukan kebetulan tapi ia merupakan hasil daripada pendekatan kerajaan yang memilih reformasi simbolik: mahu kelihatan progresif melalui pindaan AUKU, tetapi meninggalkan sejumlah besar mahasiswa di bawah cengkaman KARAM (Kumpulan Akta Rantai Mahasiswa), yang terus membelenggu
autonomi dan kebebasan pelajar.

Tegas mereka, pendekatan seperti ini yang tampak progresif di permukaan tetapi gagal menyentuh akar masalah, merupakan reformasi separuh hati dan tidak inklusif.

“Jika kerajaan serius ingin melakar pendidikan tinggi yang demokratik dan adil, reformasi mesti merangkumi semua pelajar tanpa pengecualian, bukan hanya mereka di bawah AUKU.

“Pemerkasaan mahasiswa haruslah bersifat universal, melibatkan semua institusi pengajian tinggi, dan memastikan bahawa hak autonomi dan kepemimpinan diberikan secara setara

“Jika tidak, setiap kenyataan yang mendakwa bahawa kerajaan sedang memperkasakan autonomi mahasiswa tidak lain tidak bukan hanyalah dusta belaka,” tambah mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast