KUALA LUMPUR – Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina Mahathir antara saksi utama yang memberi keterangan pada prosiding inkues menyiasat punca kematian pelajar itu yang akan bermula minggu depan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini berkata, keterangan pakar bedah itu akan menjelaskan punca kematian mangsa pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.
“Setakat ini pihak pendakwa raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali bercadang untuk memanggil lebih kurang 70 orang saksi,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara
Qairina akan dijalankan oleh koroner baharu, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang menggantikan Azreena Aziz yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah.
Menurut kenyataan itu, pasukan pegawai pengendali juga telah membuat persiapan rapi termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan semasa prosiding inkues tersebut.
Kata kenyataan itu, dokumen tersebut akan diserahkan kepada peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan.
Ujar kenyataan tersebut, jabatan itu sedia maklum dan menyedari mengenai perhimpunan `No Justice No Merdeka’ yang dikatakan akan berlangsung pada hujung minggu ini di Sabah.
“Pihak pendakwa raya telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi mengadakan inkues selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues telah ditetapkan untuk pendengaran pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30 September 2025,” ujarnya.
Kenyataan itu turut menyatakan, prosiding inkues tersebut juga akan disertai oleh pihak-pihak berkepentingan dan peguam pemerhati sepertimana yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Koroner.
Ujarnya, pihak-pihak berkepentingan iaitu ibu Zara Qairina yang diwakili oleh Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.
Selain itu, katanya, pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak pertama diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates dan pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili oleh Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.
Sementara itu, Sabah Law Society pula bertindak sebagai peguam pemerhati.
`AGC bertekad untuk memastikan prosiding inkues dapat dijalankan dengan lancar bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Jabatan ini juga berpegang kepada prinsip keadilan bukan sahaja hendaklah dilaksanakan, tetapi juga hendaklah dilihat sebagai telah dilaksanakan (Justice must not only be done but must also be seen to be done),” ujarnya.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas dimasukkan sehari sebelumnya.
Pelajar tingkatan satu itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu. – MalaysiaGazette
















