SEBERANG PERAI – Seorang pemuda maut manakala motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggangnya musnah hampir 95 peratus dijilat api selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 140.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.
Dalam nahas jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Syahim Rusman, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.43 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba 33 minit kemudian.
“Sebaik tiba kita dapati kemalangan itu membabitkan motosikal mangsa dengan sebuah motosikal lain jenis Honda Dash dan sebuah treler.

“Mangsa disahkan maut di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala penunggang Honda Dash berusia 37 tahun cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,”katanya kepada pemberita hari ini.
Tanbah beliau, motosikal ditunggang mangsa terbakar hampir keseluruhan sebelum api berjaya dipadamkan.
“Kita melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kejadian bagi memastikan tiada sebarang bahaya lain kepada pengguna jalan raya dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.11 petang,” katanya. – MalaysiaGazette
















