PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua Menteri Kabinet meluangkan masa untuk menghadiri acara sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung di Putrajaya, Ahad ini.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri menekankan bahawa kehadiran jemaah menteri penting kerana ia bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya simbolik kepada semangat kenegaraan.
“Perdana Menteri minta supaya Menteri-Menteri meluangkan masa untuk hadir. Mereka perlu hadir kerana ini satu acara kenegaraan yang penting,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata, Anwar turut menyatakan rasa puas hati dengan tahap persiapan setakat ini menjelang acara tersebut.
“Beliau saya lihat agak berpuas hati dengan tahap persiapan,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025 serta menyantuni petugas perarakan di Dataran Putrajaya.
Ketibaan Anwar pada 8.38 pagi disambut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Mengulas mengenai jumlah pengunjung, Fahmi berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, lebih 100,000 orang dijangka hadir dengan menggunakan pengangkutan awam, menurut data Perbadanan Putrajaya (PPj).
“Kalau tahun lalu lebih daripada 100, 000 ini berdasarkan kepada bilangan yang mengambil pengangkutan awam. Jadi kita jangkakan setiap kedatangan dia seramai itu,” jelas beliau.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula jam 7 pagi Ahad ini dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sambutan akan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sejauh 2.1 kilometer.
Seramai 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam bakal memeriahkan perarakan pada sambutan kali ini. – MalaysiaGazette
















