KUALA LUMPUR – Akreditasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) menyarankan golongan perhubungan awam (PR) dan komunikasi memiliki Accredited in Public Relations (APR) sebagai penanda aras kecemerlangan dalam bidang itu.
Pengerusi Akreditasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, ini kerana sijil itu menandakan seseorang pengamal itu telah memenuhi standard ketat merangkumi ilmu, etika dan keupayaan strategik.
Menurut beliau, profesional PR dan komunikasi yang mendapatkan akreditasi bukan sahaja memperkukuh kerjaya sendiri malah dapat mengangkat keseluruhan industri.
“Akreditasi itu turut membekalkan kebijaksanaan, pandangan jauh dan kredibiliti untuk mengemudi landskap komunikasi yang kompleks.
“Justeru, APR merupakan tanda perbezaan yang memposisikan PR dan komunikasi sebagai profesion yang dihormati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi memperoleh gelaran APR, mana-mana individu yang berminat perlu melalui satu proses teliti yang ditadbir oleh IPRM dan calon perlu dilulus sebelum ia mengemukakan permohonan komprehensif yang memperincikan pengalaman serta sumbangan mereka.
Penilaian akhir melibatkan semakan mendalam terhadap dua kajian kes atau penyelidikan, diakhiri dengan temu bual panel bersama pengamal kanan industri.
Calon yang berjaya berhak menggunakan gelaran APR, menyertai komuniti profesional yang komited memartabatkan standard dan pembelajaran sepanjang hayat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Akreditasi IPRM, Doris Lim berkata, akreditasi bukan sekadar kelayakan tetapi ia adalah komitmen terhadap standard tertinggi profesion PR.
“Sebagai individu yang pernah bekerja di agensi, mengajar pelajar, berkhidmat dalam NGO, dan kini duduk dalam panel akreditasi, saya melihat sendiri bagaimana akreditasi mengangkat individu dan industri.
“Paling utama, ia memberikan keyakinan untuk memimpin dengan kredibiliti serta menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan sama.
Selama lima dekad, IPRM memacu penanda aras ini untuk industri, seiring badan profesional global termasuk rakan ASEAN di Singapura (IPRS), Indonesia (PERHUMAS) dan Filipina (PRSP). – MalaysiaGazette

















