KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 menjadi harapan tinggi kepada pemandu E-Hailing dan penghantar P-Hailing.
Menurut Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia), antara perkara utama yang diberi perhatian termasuk kadar tambang perkhidmatan penumpang.
“Selain itu, isu kadar upah bagi perkhidmatan pengambilan dan penghantaran barangan serta makanan P-Hailing.
“Semoga harapan ini direalisasikan,” katanya menerusi kenyataan.
RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja.
RUU berkenaan meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Sementara itu, tambah Penghantar Malaysia, melalui kelulusan RUU itu negara kini menjadi antara negara yang mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja gig, termasuk sektor E-Hailing dan P-Hailing.
“Kami akan terus bersuara demi kebajikan rakan-rakan pemandu E-Hailing dan rakan-rakan penghantar P-Hailing,” katanya. -MalaysiaGazette
















