MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengekalkan kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam 2025.
Anugerah anjuran Education + TVET Asia Publications itu mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025 di Kuala
Lumpur.
Massila berkata, anugerah itu merupakan simbolik keunggulan UTeM sebagai Universiti Awam TVET Terbaik di negara ini kerana ini merupakan tahun kedua UTeM menjulang kemenangan yang sama.
Jelasnya, kecemerlangan berimpak tinggi ini menjadi satu pengiktirafan yang amat bermakna buat UTeM dengan mesej jelas terhadap segenap usaha dan komitmen UTeM dalam pemerkasaan TVET melalui impak berterusan.
Ini membuktikan UTeM dan TVET ibarat isi dan kulit kerana pembangunan Teras Strategik utama UTeM menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 adalah berfokus kepada Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya seiringan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara terus membuahkan hasil yang nyata.
“Seluruh elemen meliputi aspek pendidikan, penyelidikan inovasi, pembangunan pelajar, hubungan industri, institusi pendidikan, kerjasama dengan agensi strategik dan pemerkasaan komuniti digerakkan sepenuhnya bagi mencapai kejayaan TVET
secara meluas.
“Hasilnya memberangsangkan apabila setiap elemen itu membuahkan impak yang diharapkan antaranya penawaran bidang pengajian kami menepati keperluan dan permintaan semasa industri, bilangan kemasukan pelajar melebihi dari yang disasarkan.
“Bukan hanya itu malahan UTeM turut terpilih sebagai penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan ( dan turut mengukir kecemerlangan berterusan apabila berjaya mencatatkan lonjakan peratusan tertinggi bagi kesemua 5 indikator utama yang menjadi ukuran keunggulan kebolehpasaran graduan sesebuah universiti bagi tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemerkasaan TVET dalam kalangan universiti-industri dan pengantarabangsaan adalah elemen berangkai yang telah direalisasikan secara konsisten.
Kolaborasi antara UTeM bersama pemain utama industri dan institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia dijayakan menerusi siri-siri jalinan kerjasama strategik seperti di negara Jerman, Perancis, New Zealand, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, China, Afrika Selatan, UAE dan lain-lain negara termasuk perkongsian kepakaran demi kelestarian TVET masa kini dan masa hadapan dunia.
Di samping itu, UTeM turut meluaskan lagi kepelbagaian TVET kepada program TVET Aeroangkasa yang mula digerakkan pada tahun ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia
Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing, ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, seluruh pencapaian yang telah dicapai UTeM ini meletakkan universiti ini sebagai rujukan utama dalam negara malahan turut menjadi ukuran di peringkat global. – MalaysiaGazette
















