Anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membuat kawalan dan memantau pergerakan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabang Kuala Lumpur, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JULAI 2025

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menolak kemasukan 104 warga asing dari pelbagai negara semalam, kerana didapati tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menerusi kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan kesemua warga asing itu dikesan selepas pihaknya memeriksa dan menyaring pergerakan masuk 54,947 pelawat antarabangsa yang direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

“Kemasukan ini melibatkan 362 ketibaan penerbangan antarabangsa dan pelepasan 361 penerbangan antarabangsa.

“Hasil pemeriksaan mendapati majoriti pelawat warga Bangladesh, India dan Pakistan gagal mengemukakan tujuan kemasukan yang jelas,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan pemeriksaan turut mendapati warga asing yang ditolak kemasukan itu juga dikesan tiada penginapan atau tiket pulang yang sah, serta memberikan alasan meragukan untuk menyokong permohonan masuk.

“AKPS akan terus mengambil tindakan tegas dalam memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara, serta memastikan hanya pelawat yang memenuhi syarat kemasukan dibenarkan masuk ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, AKPS memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan usaha untuk menghantar pulang 288 pelawat yang tidak dibenarkan masuk, yang masih berada di KLIA, ke negara asal. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast