KUALA LUMPUR – Pelajar lelaki tingkatan tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor pada 26 Ogos lalu, kini dilaporkan lebih stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, selepas tiga hari menerima rawatan, pelajar berkenaan juga menunjukkan beberapa tindak balas positif.
Menurut beliau, pelajar berkenaan sebelum ini menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan dalam otak dan rawatan kecemasan tersebut berjaya dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
“Berdasarkan maklum balas rasmi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pelajar tersebut kini masih menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Intensif (ICU), Hospital Sungai Buloh.
“Pasukan perubatan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jamaliah menambah, Kerajaan Negeri Selangor menzahirkan rasa simpati dan doa agar pelajar berkenaan segera pulih.
Dalam masa sama, tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor juga menyeru semua pihak dapat memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta mengelak daripada membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi mereka.
“Kerajaan Negeri bersama JKNS akan terus memantau perkembangan kesihatan pelajar ini dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada pihak keluarga,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar sebelum ini memaklumkan, pihaknya membuka kertas siasatan sebaik sahaja menerima laporan kejadian itu dan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya. – MalaysiaGazette
















