GEORGE TOWN – Sambutan bulan Kemerdekaan kali ini menyaksikan pelancaran Persatuan Keharmonian Sosial Pulau Pinang (PSHS) yang berperanan sebagai wadah baharu dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pengantaraan profesional serta penyelesaian konflik secara harmoni.
Pengasasnya, William Khoo berkata, penubuhan PSHS amat bertepatan dengan suasana kemerdekaan kerana keharmonian dan persefahaman pelbagai kaum merupakan asas kekuatan negara sejak merdeka.
“PSHS menghimpunkan seramai 12 pengantara Jaksa Pendamai (JP) bertauliah daripada Biro Pengantaraan JP dan Persatuan Pengantara Komuniti JP Pulau Pinang.
“Peranan pengantara bukan hanya menamatkan pertikaian, malah membina jambatan persefahaman, menjalin hubungan berkekalan serta menyediakan rangka kerja untuk masyarakat hidup bersama secara aman.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, kami menyeru orang ramai mengutamakan keharmonian dalam kepelbagaian dan menjiwai semangat kebersamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran di sini.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng.
Tambah William, antara tumpuan utama PSHS termasuklah pengantaraan komuniti bagi pertikaian kejiranan, latihan kepimpinan belia, penyelesaian konflik di tempat kerja, penganjuran bengkel budaya, selain forum awam berkaitan isu sosial semasa.
“PSHS turut mencatat sejarah sebagai persatuan pengantaraan pertama dipimpin belia di Utara tanah air dengan pasukan pelbagai bahasa yang berpegang kepada prinsip neutral, tidak partisan dan tidak berasaskan agama.
“Usaha itu diyakini mampu menyumbang ke arah pembinaan komuniti lebih kukuh di Pulau Pinang, seiring dengan semangat ulang tahun kemerdekaan negara ke-68,” katanya. – MalaysiaGazette
















