JOHOR BAHRU – Semangat patriotik mendorong seorang pekerja swasta menghiaskan kediamannya di Taman Desa Rahmat di sini dengan Jalur Gemilang.
Awang Sebawi Awang Halil, 63, dan isteri, Fadzillah Daud, 53, menjadikan kediaman mereka sebagai simbol semangat patriotik sejak lapan tahun lalu.
Setiap tahun, rumah mereka dihiasi puluhan bendera pelbagai saiz dan warna termasuk Jalur Gemilang serta bendera 14 negeri di Malaysia.
Dia yang berasal dari Sri Aman, Sarawak dan sudah lebih 30 tahun menetap di sini berkata, Jalur Gemilang bukan sahaja perlu dihormati malah diangkat martabatnya sesuai dengan kedudukannya sebagai lambang negara.
“Bendera bukan sekadar hiasan. Ia melambangkan perpaduan, pengorbanan dan identiti negara. Saya sarankan setiap rakyat Malaysia mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera pada kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan kepada bulan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, walaupun tidak semua jiran aktif menghias rumah, dia sentiasa memberikan dorongan untuk mereka turut mengibarkan bendera.
Malah dia sering membelikan bendera kecil untuk diagihkan kepada jiran dan sahabat terdekat.
“Saya percaya kalau kita mulakan, lama-lama orang lain akan ikut. Kadang-kadang mereka malu atau tidak sempat beli bendera, jadi saya sediakan untuk mereka.
“Yang penting semangat itu hidup,” jelasnya.
Kini koleksi bendera di rumahnya mencecah kira-kira 300 helai merangkumi bendera pelbagai saiz dari seluruh negara.
Sebahagian daripada koleksi itu disimpan khas untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan terutama yang tidak berpeluang memiliki bendera sendiri.
Tambahnya, golongan dewasa disaran menjadi teladan kepada remaja dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Jelasnya, bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut memupuk kecintaan yang mendalam terhadap negara.
Apa yang lebih penting, ujarnya, mendidik generasi muda memahami sejarah, menghargai keamanan dan menghormati pengorbanan pejuang terdahulu.
“Kalau kita hanya kibar bendera tetapi tidak faham maknanya, semangat merdeka itu tidak akan kekal. Golongan dewasa perlu tunjukkan bahawa cinta pada negara adalah melalui tindakan, bukan kata-kata semata-mata,” katanya.
Menurutnya, semangat patriotisme yang kukuh perlu ditunjukkan secara konsisten agar generasi muda dapat mencontohinya.- MalaysiaGazette
















