RIO DE JANEIRO – Brazil terpaksa menggugurkan Matheus Cunha untuk menentang Chile dan Bolivia pada aksi kelayakan Piala Dunia selepas penyerang itu mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Manchester United awal pagi tadi.
Persekutuan Bolasepak Brazil dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara pasukan perubatan Manchester United dan pasukan kebangsaan.
“Penyerang Matheus Cunha diketepikan akibat kecederaan otot yang dialami dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley,” kata kenyataan itu.
Cunha, 26, yang menyertai Manchester dari Wolves pada musim panas ini, dikeluarkan seawal minit ke-28 ketika kemenangan 3-2 Red Devils di Old Trafford.
Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti memanggil pemain sayap Samuel Lino sebagai pengganti yang baru sahaja menyertai kelab Brazil, Flamengo dari Atletico Madrid bulan lalu.
Cunha menjadi pemain keempat daripada skuad awal Ancelotti yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan selepas Joelinton (Newcastle), Alex Sandro (Flamengo) dan Vanderson (Monaco).
Selepas permulaan kempen yang agak sukar, Brazil kini berada di tangga ketiga dalam kumpulan 10 pasukan Amerika Selatan dan sudah mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia tahun depan.
Dalam dua perlawanan terakhir, Brazil akan menentang Chile iaitu satu-satunya pasukan yang sudah tersingkir di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pada 4 September ini sebelum berkunjung ke Bolivia lima hari kemudian di El Alto pada altitud tinggi. – Agensi
















