KUALA LUMPUR – Lebih 200 orang berkumpul dalam Himpunan Justice For Zara Qairina yang berlangsung malam tadi bagi menuntut kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di ibu negara malam tadi.
Tinjauaun MalaysiaGazette mendapati orang ramai mula berkumpul bersama anak-anak sejak pukul 8.30 malam di hadapan pusat beli belah Kompleks Sogo.
Acara solidariti itu dimulai dengan bacaan doa sebelum disusuli ucapan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktiviti masyarakat malah kawasan sekitar turut dipantau anggota polis yang bertugas.
Selain itu, rata-rata peserta yang hadir dilihat membawa kain rentang, poster serta melaungkan slogan Justice For Zara sambil menyuarakan penolakan terhadap budaya buli dan keganasan kanak-kanak.

Salah seorang peserta, Eirma Isa, 60, yang ditemui memilih untuk menyertai himpunan itu pada malam merdeka kerana ingin menuntut keadilan kematian mangsa buli, Allahyarham Zara Qairina.
“Sebenarnya kes buli di negara ini sudah lama dan kita rasa kesal dengan undang-undang kerajaan kita yang tidak mengambil berat kes in (kematian Zara Qairina) sehingga ia menjadi tular.
“Jadi malam merdeka ini, saya bawa anak dan cucu sedara supaya mereka faham tentang kes ini dan sambutan kali ini memang saya rasa agak suram disebabkan perkara ini.
“Lazimnya kita akan sambut di Dataran Merdeka untuk melihat bunga api tapi majoriti rakyat rasa sambutan kali ini tidak meriah seperti tahun sebelumnya.
“Walaupun negara sudah merdeka tetapi kemerdekaan itu tidak dilaksanakan dari segi undang-undang yang adil. Saya harap kerajaan lebih peka dan bertanggungjawab untuk membela rakyat,” jelasnya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang suri rumah, Ellisa Shaharuddi, 41, yang memilik menyambut ambang merdeka dengan membawa keluarganya sertai himpunan Demi Zara Qairina.
“Selalunya malam ambang merdeka kita akan bawa anak-anak pergi ke Dataran Merdeka untuk meraikan tapi kali ini saya buat kelainan pergi ke himpunan Justice For Zara.
”Ia sebagai pengajaran untuk anak-anak kita supaya menghindari budaya buli dan sebagai ibu saya turut merasa sedih dengan kejadian tersebut.
“Kita juga mahu menuntut keadilan dan sambut merdeka dalam keadaan seperti ini tidak guna sebab erti kemerdekaan itu selari dengan negara selamat tapi keadana buli semakin berleluasa,” katanya.
Sehubungan itu, mereka mendesak pihak berkuasa segera mencari penyelesaian menangani masalah buli dan pendakwaan terhadap pelaku yang terlibat bagi memastikan negara aman serta tenteram. – MalaysiaGazette
















