PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertolak ke China hari ini bagi menghadiri beberapa acara rasmi selepas selesai menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pagi ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri dijangka bertolak pukul 11 pagi bagi melawat beberapa lokasi dengan kemuncak acara dijadualkan pada 3 September depan.
“Beliau telah melawat China berkali-kali tetapi ini akan menjadi saat yang sangat penting kerana kami ingin memperkukuh hubungan bilateral terutamanya sempena sambutan Merdeka dan sambutan Hari Nasional.
“Jadi, saya rasa ini adalah masa yang sangat menyenangkan bagi kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke China bermula hari ini hingga 3 September depan atas jemputan Presiden Xi Jinping bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (Shanghai Cooperation Organization –SCO).
Lawatan itu adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Kejayaan Rakyat China dalam Peperangan Menentang Pencerobohan Jepun dan Peperangan Anti-Fasis Sedunia.
Penyertaan Malaysia dalam acara tersebut dilihat mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh hubungan dengan China, di samping menzahirkan solidariti dan penghormatan Malaysia terhadap perjuangan serta pengorbanan rakyat China semasa Perang Dunia Kedua.
Sebagai Pengerusi ASEAN, penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak SCO mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh hubungan ASEAN–SCO serta mengangkat peranan Malaysia sebagai pengantara antara ASEAN dan negara anggota SCO dalam meneroka potensi kerjasama pelbagai bidang.
Selain itu, Anwar turut dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 yang mana republik itu merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.
Nilai dagangan antara Malaysia dan China adalah RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion). – MalaysiaGazette
















