KULAI – Seorang remaja maut selepas terlibat kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 28.4 Lebuhraya Link Kedua, arah Selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan kemalangan berlaku pukul 2.30 pagi yang melibatkan motosikal, sebuah kereta dan kenderaan utiliti sukan (SUV) audi.
“Kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135LC iaitu lelaki tempatan berusia 18 tahun sedang menunggang di lorong kiri.
“Motosikal tersebut telah hilang kawalan dan melanggar bahagian kiri belakang SUV dipandu seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, motosikal tersebut kmudian melanggar belakang kereta Perodua Myvi dipandu lelaki warga tempatan berusia 26 tahun.
Akibat pelanggaran itu katanya, penunggang tersebut tercampak atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD, Kulai, bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















