Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Gerakan untuk memboikot Hari Kebangsaan kali ke-68 tahun ini boleh dikatakan gagal apabila sambutan ulang tahun kemerdekaan negara mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran orang ramai sejak malam semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette seawal 2.30 pagi tadi mendapati orang ramai berpusu-pusu memenuhi tempat duduk yang disediakan malah mereka sanggup bersengkang mata sehingga program itu bermula pukul 7 pagi tadi.

Bagi Siti Fatimah Baharan, 52, kehadirannya ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 kerana semangat patriotisme dan sebagai tanda menghargai jasa dan pergorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu.

Siti Fatimah Baharan

“Kita kena semaikan semangat patriotik kepada semua lapisan masyarakat dari anak kecil hingga dewasa supaya mereka berbangga jadi anak Malaysia, sentiasa bersemangat patriotik.

“Kita kena bersyukur kerana negara kita aman dan damai. Tak lupa juga jasa-jasa orang terdahulu yang bawa kemerdekaan kepada Malaysia, Alhamdulillah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli ke Sambutan Hari Kebangsaan 2025 kali ke-68 di Dataran Putrajaya.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Lim Jia Yi

Bagi seorang mahasiswa Universiti Malaya, Lim Jia Yi, 20,  semangat patriotisme dia semakin bertambah apabila hadir ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini.

“Rasa seronok sebab ramai, saya pun datang sudah tiga tahun, setiap tahun akan datang lagi. Sebelum ini keluarga tak datang, kali ini kakak dan bapa datang, seronok juga macam dulu.

“Bila tak datang tiada rasa patriotisme, kalau datang sini akan timbul semangat patriotisme,” katanya.

Mohd Nazri Ishak

Menurut Mohd Nazri Ishak, 58, dari Pulau Pinang, walaupun terdapat gerakan untuk memboikot Hari Kebangsaan namun dia merasakan ia sebaliknya kerana sambutan sangat menggalakkan.

“Saya gerak pukul 12 tengah malam dan sampai 5 pagi. Ini kali pertama saya sambut Hari Kebangsaan di Putrajaya. Pada pandangan saya, sambutan sangat meriah dan sokongan rakyat terhadap Hari Merdeka sangat padu.

“Sebagaimana kata kononnya tak nak datang merdeka tak jadi, rakyat Malaysia tetap datang sambut hari kemerdekaan, “ katanya.

Ashwinii Thiagarajan (tengah) bersama rakan-rakannya.

Bagi Ashwinii Thiagarajan, 24, semangat menyambut Hari Kebangsaan mendidik rakyat untuk mempunyai sikap tolak ansur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Kita kena bertolak ansur itu perkara utama, bila kita ada kesefahaman, kita boleh hidup dengan aman, harap kami dapat teruskan keamanan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast