SEGAMAT – Penyelidik dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakukan siasatan dipercayai kesan gempa bumi di Jalan Buloh Kasap, Batu 2 di sini hari ini.
Sekumpulan penyelidik tersebut meninjau dan melakukan siasatan kawasan rekahan tanah di kebun milik seorang penduduk, Ramlah Isahak.
Tinjauan mendapati mereka juga menggunakan peralatan teknologi ABEM Terrameter LS 2 iaitu sistem rintangan untuk memetakan keadaan struktur bawah tanah.
Turut berada di lapangan ialah Pengarah JMG Johor Noorazhar Ngatimin, Pengarah MetMalaysia negeri, Nor Adawiah Abdullah dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, iaitu Dr Mohd Nur Asmawisham Alel, Prof Madya Dr Mariyana Aida Ab Kadir dan Dr Mohd Zamri Ramli.
Difahamkan, dapatan awal itu akan dianalisis terlebih dahulu oleh pihak berkaitan sebelum kesimpulan dibuat.
Sementara itu, Ramlah, 56, melahirkan rasa lega kerana kebimbangannya selepas menemukan rekahan itu mendapat perhatian kerajaan negeri dan kumpulan penyelidik berkenaan.
Ramlah yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai pelukis pelan percaya pihak terlibat memiliki kepakaran untuk mengenal pasti punca sebenar rekahan berlaku.
“Saya mengalu-alukan kedatangan penyelidik kerana penting untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Semalam, media melaporkan kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di belakang rumah wanita itu dipercayai kesan sampingan gegaran gempa bumi.
Ramlah yang bimbang dengan rekahan yang semakin membesar sekiranya gegaran berlaku lagi memohon agensi berkaitan mengambil tindakan lanjut untuk membuat penilaian.
Lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi semalam (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Sementara gegaran terbaharu bermagnitud 3.0 dikatakan berlaku di Semerah, Batu Pahat pukul 1.57 petang tadi, menurut mesej pemberitahuan dalam Google.- MalaysiaGazette
















