Keadaan di tapak projek pembinaan Blok Wania dan Kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang terletak di Tanjung Lumpur, di Kuantan yang sehingga kini mencapai 2.74 peratus.

KUANTAN – Projek pembangunan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kini baru 2.74 peratus dijalankan, berbanding 5 peratus mengikut jadual asal.

Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir. Roslan Ismail berkata, kelewatan projek ini tidak dielakkan kerana ia melibatkan isu pengambilan dan perancangan tanah namun pembincangan lanjut telah dilakukan bersama kontraktor.

”Perkembangan projek berjalan dengan baik walaupun ada sedikit kelewatan namun pihak kontraktor memberi komitmen untuk proses recovery (pemulihan) dalam masa terdekat.

“Kita masih berharap projek Women and Child HTAA ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Projek yang terletak di Mukim Kuala Kuantan di Tanjung Lumpur ini telah bermula dua tahun lepas dengan kos RM513 juta.

Roslan optimis projek berkenaan disediakan awal daripada jangkaan asal jika pihak kontraktor dapat memberi komitmen sewajarnya.

Projek yang dijangka siap menjelang Mei 2028 ini merupakan antara projek penting untuk menyediakan perkhidmatan kepada pesakit dalam, pesakit luar dan rawatan kritikal.

Blok baharu menyediakan 376 katil menyediakan empat klinik pakar, empat dewan bedah serta dua dewan bedah materniti.

Bangunan baharu HTAA itu turut menyediakan 1,095 tapak letak kenderaan termasuk jenis berbumbung, orang kurang upaya (OKU), parkir ambulans dan 216 parkir motosikal.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, jarak blok baharu dengan bangunan HTAA sedia ada hanya 8 kilometer dengan melalui jambatan pertama di Tanjung Lumpur.

Razali turut berharap pihak kontraktor terlibat menjaga kualiti pembinaan bangunan berkenaan.

”Pihak kerajaan negeri sedia memberi bantuan yang diperlukan berkaitan pembinaan blok Kanak-kanak dan Ibu HTAA bagi manfaat rakyat di negeri ini.

Beliau berharap dengan siapnya pembinaan projek ini, isu kepadatan pesakit di fasiliti kesihatan sedia ada dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Blok Ibu dan Anak HTAA bernilai RM530 juta akan siap tahun 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast