Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2022.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok bagi mendengar keterangan bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Selain prosiding itu, Mahkamah Tinggi pula akan mendengar permohonan pempengaruh dan usahawan, Asyraf Khalid dalam permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) terhadap penyanyi rap Caprice berkaitan pernyataan fitnah dalam Instagramnya (IG).

Penyanyi rap, Caprice Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2023. ((GAMBAR FAIL)

Keterangan bela diri Bung Moktar dan Zizie Izette dijadual didengar di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September ini.

Prosiding itu yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos lalu ditangguhkan selepas peguam Datuk Seri K. Kumaraendran tidak sihat dan masih menerima rawatan.

Ketika kes disebut, peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette memaklumkan, Kumaraendran tidak sihat kerana kewujudan cecair dalam paru-paru.

Pada 22 Mei lalu, Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette gagal dalam permohonan semakan di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan panel terdahulu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Mereka menyemak keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 memerintahkan pasangan itu membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan kedua-duanya yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 47, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad. Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, berkaitan kes saman Asyraf (plaintif) terhadap Caprice, Mahkamah Tinggi pada 18 Ogos lalu telah mengarahkan penyanyi itu menyimpan semua 31 hantaran dalam arkib IG yang didakwa memfitnah Asyraf.

Hakim Datuk Anand Ponnudurai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim (sementara) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Ashraf.

Asyraf yang juga anak tiri Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memfailkan saman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, yang dinamakan sebagai defendan pada 4 Ogos lalu.

Menurut peguamnya terdapat kenyataan fitnah yang diterbitkan di Instagram yang merujuk kepada video teaser (pra-penyiaran) yang akan diterbitkan anak guamnya.

Video teaser itu adalah menerusi poadcast (audio siar) yang mana hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform defendan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast