BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan berusia setahun tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM85,000 bagi menjalani pembedahan dengan segera.
Ibunya, Noor Afifah Elias, 29, berkata, Nur Fatma Adiratna Muhamad Faris dikesan mempunyai masalah jantung selepas dia kerap keluar masuk hospital akibat masalah jaundis sejak dilahirkan.
Katanya, doktor mendapati terdapat bunyi jantung tidak normal sebelum mengesahkan dia mengalami penyempitan arteri pulmonari (pulmonary stenosis) dan mempunyai lubang pada jantung (VSD).
“Ketika itu, bayi saya masih mampu bernafas sendiri dan doktor hanya memantau secara berkala untuk melihat sama ada lubang boleh tertutup sendiri.
“Namun pada pemeriksaan susulan baru-baru ini, doktor mengesan jantungnya mula membengkak serta lubang pada jantungnya kini membesar sehingga 7 milimeter dan tidak dapat tertutup sendiri.
“Keadaan menyebabkan anak saya memerlukan pembedahan segera bagi mengelak komplikasi berbahaya seperti kesukaran bernafas, pembengkakan jantung atau risiko jantungnya terhenti,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun, kos yang tinggi menjadi halangan kerana mereka hanya mampu mengumpul RM1,500 sedangkan jumlah masih kurang RM85,000.
Suaminya, Muhamad Faris Muhamad Fauzi, 30, merupakan operator kilang manakala dia hanya suri rumah sepenuh masa.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati mengumpul dana bagi pembedahan bayi dari Baling, Kedah itu selepas keluarganya melepasi saringan kelayakan yang dijalankan pihaknya.
“Bayi itu merupakan anak tunggal pasangan tersebut, pembedahan telah dijadual pada 6 September ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435).
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org.
Bagi pertanyaan lanjut, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette
















