Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis menolak kemungkinan masalah mental menjadi punca seorang guru taska bertindak kasar terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah pusat asuhan di Bandar Rimbayu, Kuala Langat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati wanita berusia 38 tahun itu berada dalam keadaan normal serta tidak mempunyai sebarang rekod atau simptom gangguan mental.

Malah polis juga mengesahkan suspek sudah lebih setahun berkhidmat di taska berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, suspek dipercayai hilang sabar apabila mangsa enggan mengikut arahan.

“Contohnya, bila suruh ke tandas, kanak-kanak itu tidak ikut arahan dan terus main-main. Keadaan itu menimbulkan rasa geram suspek sebelum berlaku insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Insiden kira-kira pukul 6 petang itu menjadi perhatian selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 24 Ogos lalu dan suspek kemudian ditahan dan direman lima hari bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan mendapati, suspek bukan sahaja disyaki menarik rambut mangsa dan menyeretnya dari kelas ke bilik air malah turut didakwa memukul kepala kanak-kanak berkenaan menggunakan tudung saji kecil serta botol air.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti polis turut menunjukkan guru wanita itu menolak serta menyeret mangsa dengan menggunakan kaki dari ruang kelas hingga ke bilik air.

Menurut Mohd Akmalrizal, kertas siasatan kes itu akan dirujuk ke pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan pertuduhan yang dijangka dibuat minggu hadapan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast