KUALA LUMPUR – Seorang remaja dari suku Temiar, Pos Balar, Gua Musang, Kelantan mencipta sejarah apabila menjadi anak Orang Asli pertama yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di bawah program Ulul Albab.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Muhammad Izzudin Hasmadi, 16, menerima Anugerah Ibnu Qayyim.
Perkara itu dikongsikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sambil melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Muhammad Izzudin itu, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya pencapaian tersebut mampu meniupkan inspirasi kepada anak-anak Orang Asli serta seluruh anak Malaysia untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
Dalam masa sama, beliau turut menaruh harapan supaya usaha memartabatkan pendidikan tahfiz dapat terus diperkasa, sekali gus melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang cemerlang.
“Semoga kejayaan adik Izzudin ini menjadi pencetus semangat buat lebih ramai anak Orang Asli khususnya dan juga anak-anak Malaysia amnya untuk mencontohi langkah mulia ini.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan! Semoga adik Izzudin terus istiqamah dan diberi kekuatan untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada ummah. Insya-Allah,” katanya.
Program Ulul Albab merupakan sebuah program pendidikan berkonsepkan integrasi yang menggabungkan ilmu sains tulen dengan ilmu agama (termasuk tahfiz Al-Quran).
Ia bertujuan melahirkan individu profesional, teknokrat dan usahawan yang berpengetahuan luas, berkemampuan berfikir kritis dan memiliki sahsiah diri yang mantap selaras dengan acuan Islam.
Program itu dibangunkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan melibatkan modifikasi kurikulum serta penambahan mata pelajaran agama untuk memastikan semua aspek ilmu disepadukan. – MalaysiaGazette
















