KUANTAN – Polis berjaya merampas 406 unit pelbagai jenis senjata tiruan dan aksesori dalam serbuan di kawasan Padang Hangus, Gebeng di sini pada 31 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan menerusi Op Laras bermula pukul 3 sehingga 6.30 petang dibuat hasil risikan serta maklumat awam berhubung kegiatan permainan war game menggunakan senjata api tiruan jenis Air Soft Gun.
“Turut ditahan 41 individu berusia 21 hingga 66 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk pesara tentera, anggota tentera, jurutera, juruteknik, doktor fisioterapi, guru, pekerja kilang, penjawat swasta serta pelajar.
“Difahamkan, menerusi satubgrup Whatsapp pada tarikh itu mereka merancang untuk mengadakan permainan war game ni,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Mereka juga telah menceroboh kawasan rizab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang belum dibangunkan bagi mengadakan aktiviti tersebut.
Beliau berkata, tujuan sebenar kumpulan itu mengadakan aktiviti di lokasi terbabit masih disiasat pihak polis.
Turut dirampas ialah 406 unit pelbagai jenis senjatapi tiruan dan aksesori.
Antaranya 65 laras senapang, 32 unit pistol airsoft, 130 kelopak peluru, 28 vest / body armour, 40 helmet / goggle / mask, 36 pouch / holster, 22 bungkus peluru BBs dan 18 unit gas / bateri / tabung.
Menurut Ashari, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai melebihi RM100,000 dan kesemua senjata tiruan itu dipercayai diperoleh menerusi pembelian atas talian.
Polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit yang sah.
“Kesemua tangkapan (suspek) telah dibawa ke IPD Kuantan dan direman sehingga 4 September untuk siasatan lanjut,” katanya.-masing. – MalaysiaGazette















