KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak RM100 yang disalurkan menerusi kad pengenalan boleh digunakan sehingga 31 Disember ini.
Justeru, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, orang ramai tidak perlu terburu-buru menggunakannya hingga perlu beratur panjang di kaunter bayaran.
“Sekiranya bimbang perlu beratur panjang, anda boleh mengunjungi mana-mana kedai runcit terpilih yang berdekatan atau beli-belah secara berkala.
“Jangan risau kerana anda mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit ini,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian ketika sesi turun padang ke kedai runcit yang menyertai program MyKasih di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang mengenai gangguan sistem yang berlaku.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, sistem tersebut kini stabil peningkatan kapasiti sebanyak 60 peratus.
“Saya rasa kerana terlalu ramai yang cuba menebus bantuan itu serentak menyebabkan sistem tergendala pada hari pertama dan kedua. Sekarang rakyat tidak perlu lagi risau untuk membuat pembelian menggunakan SARA,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















