ISKANDAR PUTERI – Tindakan seorang lelaki mengetuk kepala seorang pengawal keselamatan warga asing dengan seketul batu membawa padah apabila diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Gelang Patah di sini kelmarin.
“Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa iaitu lelaki warganegara Nepal pada pukul 2.59 petang pada hari sama.
“Berdasarkan laporan, mangsa memberitahu, kejadian berlaku ketika dia menahan suspek di lorong pelawat di sebuah pangsapuri kerana didapati tidak memiliki kad akses untuk memasuki pangsapuri tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat tidak berpuas hati, suspek kemudiannya bertindak mengambil seketul bata lalu mengetuk kepala mangsa dan menyebabkan kecederaan.
Bertindak atas maklumat katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah membuat tangkapan ke atas seorang suspek iaitu lelaki warga tempatan berusia 37 tahun pukul 1 pagi semalam.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing suspek, didapati negatif,” katanya.
Tambah Kumarasan, suspek kini ditahan reman mulai semalam hingga Khamis bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.
Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, katanya.
Sebarang maklumat jenayah katanya, boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette
















