Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama pengurusan tertinggi JD.com pagi tadi sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing yang turut disertai beberapa anggota Kabinet yang lain.

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk utama rantau ini dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab kargo udara ASEAN.

Usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat dengan syarikat logistik dan e-dagang gergasi China, JD.com.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, komitmen itu diperkukuh melalui pertemuannya bersama pengurusan tertinggi JD.com pagi tadi sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Beijing yang turut disertai beberapa anggota Kabinet lain.

“Dalam pertemuan dengan JD.com, saya menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng sebagaimana dipersetujui dalam Kenyataan Bersama Malaysia–China semasa lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu.

“Kedua-dua pihak berkongsi visi membangunkan Air Silk Road yang lancar antara ASEAN dan China menerusi kolaborasi menyeluruh dalam bidang penerbangan awam dan logistik,” katanya dalam kenyataan.

Anthony berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Malaysia menjadikan KLIA hab kargo serantau di samping menyokong rancangan JD.com mengembangkan rangkaian perdagangan rentas sempadan ASEAN–China.

“Saya turut menjemput JD.com untuk mempertimbangkan pelaburan dalam pembangunan Smart Warehouse di Selangor Aeropark.

“Pelaburan strategik sebegini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai pusat logistik serantau, tetapi juga meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan membuka lebih banyak ruang bagi produk Malaysia serta ASEAN menembusi pasaran China,” katanya.

JD.com merupakan salah satu platform e-dagang terbesar dunia dengan lebih 551 juta pelanggan aktif yang mengendalikan rangkaian gudang dan logistik paling canggih di China dan kini telah menubuhkan empat gudang di Malaysia.

Fokusnya terhadap logistik global, penghantaran ekspres dan kargo rentas sempadan menjadikan JD.com pemain utama yang berpotensi mempercepatkan transformasi ekosistem logistik Malaysia.

Anthony menegaskan, kerjasama dengan JD.com akan memberi nilai tambah kepada usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti yang juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan logistik antarabangsa.

“Hubungan erat Malaysia–China dalam sektor penerbangan awam dan logistik mampu meningkatkan daya saing KLIA, memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan serta memperluas peluang pekerjaan.

“Pada masa yang sama, ia mengukuhkan hubungan dagangan antara ASEAN dan China dalam jangka panjang. Inisiatif Air Silk Road bukan sahaja akan mempercepatkan aliran barangan dan perkhidmatan, tetapi juga menjadikan Malaysia pintu strategik yang menghubungkan ASEAN dengan pasaran global China,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast