KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan sihat dan aktif memimpin parti pada masa ini.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak timbul isu kesihatan Muhyiddin dipertikaikan memandangkan bekas Perdana Menteri itu masih menunjukkan komitmen tinggi di lapangan.
“Kesihatan presiden baik, beliau cukup berwibawa. Saya sendiri berhubung dengan beliau hampir setiap hari khususnya dalam persiapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini. Malah beliau kini sedang menyiapkan ucapan dasar yang komprehensif.
“Dalam tempoh enam bulan ini, Tan Sri (Muhyiddin) menunjukkan komitmen luar biasa, turun ke negeri-negeri dan bahagian-bahagian. Jadi, beliau benar-benar bersedia memimpin parti dengan lebih aktif,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di sini hari ini.

Sidang media itu juga untuk memaklumkan tentang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang masuk tahun ke-8 pada 6 dan 7 September ini bertempat di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam dengan tumpuan khas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut disoal tentang kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan kesediaan menerima MIC dan MCA menyertai Perikatan Nasional (PN).
Mohamed Azmin berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana parti atau individu yang menerima idealisme perjuangan PN untuk memperbetulkan keadaan negara. Sudah tentu, pengalaman MCA dan MIC boleh memperkukuh sokongan rakyat kepada PN.
“Perkembangan ini positif kerana semua pihak perlu mendahulukan kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.
Menyentuh tentang pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau memaklumkan Bersatu telah memutuskan untuk bertanding.
Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan PN juga telah bersetuju memberi tumpuan di Sabah dengan mandat diberikan kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk menyelaras persiapan.
“Bersatu telah meneliti kawasan-kawasan tumpuan dan calon-calon juga sudah dikemukakan kepada presiden untuk diputuskan. Tetapi soal kerusi yang akan ditandingi, itu akan diumumkan pada waktu yang sesuai.
“Senario politik Sabah sangat dinamik. Apa yang penting strategi mesti diatur untuk memberi kemenangan kepada parti,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, PN akan bertanding menggunakan nama gabungan itu namun tidak menutup ruang kerjasama selepas pilihan raya sekiranya wujud keperluan membentuk kerajaan stabil. – MalaysiaGazette
















