Alexander Nanta Linggi bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat tinjauan pembinaan 280 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Markas Angkatan Bersama (MKAB) di Sungai Panching, di sini hari ini

KUANTAN – Pembinaan 280 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Markas Angkatan Bersama (MKAB) di Sungai Panching, di sini dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan kediaman pelbagai kelas termasuk banglo, rumah berkembar serta blok apartmen untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, projek ini dijadualkan siap pada Januari tahun ini namun dilanjutkan sehingga tahun depan bagi memastikan skop kerja dapat disiapkan dengan lebih sempurna.

”Berdasarkan laporan kemajuan, projek tersebut setakat ini mencatatkan lebih 50 peratus proses pembinaan sehingga 31 Ogos lalu.

”Kontraktor menyatakan 50 peratus, tetapi apabila ditanya tadi betul ke boleh siap, mereka yakin sebab kita ini menggunakan kaedah (sistem binaan berindustri) atau IBS,

”IBS ini boleh dibuat dengan cepatlah, pihak kontraktor pun yakin boleh siap bulan julai tahun 2026 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat tinjauan projek berkenaan di Panching 5, di sini hari ini dan Hadir sama, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail.

Projek bernilai RM197.98 juta itu bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia untuk Kementerian Pertahanan dan dimulakan pada 27 Ogos 2021.

Pada asalnya ia dijadualkan siap pada 23 Januari 2025 namun terpaksa dilanjutkan selepas berdepan beberapa masalah teknikal.

Projek ini dilengkapi dengan fasiliti padang bola, rumah bakat, tadika, taman permainan serta sistem kumbahan moden dan kemudahan parkir yang mencukupi.

Terdahulu Alexander juga berkesempatan meninjau status perancangan Projek Membina Persimpangan Bertingkat Panching di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.

Projek bernilai RM160 juta itu kini dalam proses penilaian tender dan tempoh pembinaan dijadualkan bermula November tahun ini dan siap sepenuhnya November 2028. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast