KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah menahan reman dua individu termasuk seorang pegawai kanan polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.
Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan suspek yang merupakan seorang pegawai kanan polis direman mulai 31 Ogos sehingga 3 September 2025 manakala seorang lagi individu direman bermula 30 Ogos sehingga 5 September 2025 yang dikeluarkan Majistret Chan Jia Kay, selepas kedua-dua permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan seorang wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditangkap berasingan pada 29 dan 31 Ogos lalu sekitar Kuala Lumpur antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat di mana suspek lelaki terbabit menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000.
“Suspek lelaki tersebut dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada suspek juga secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita manakala suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















