Gambar hiasan aerotrain KLIA. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual selesai dilaksanakan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kerja penyelenggaraan dari 18 hingga 31 Ogos itu dijalankan setiap hari antara 12 tengah malam hingga 5 pagi tanpa menjejaskan sambungan perjalanan penumpang.

Tambah beliau, MAHB turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik bagi memastikan perjalanan lancar antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit sepanjang tempoh tersebut.

Mohd Izani berkata kerja penyelenggaraan itu dilakukan bagi menambah baik tindak balas serta kebolehpercayaan sistem berdasarkan data operasi yang dikumpul sejak aerotrain dilancarkan pada 1 Julai 2025.

“Aerotrain merupakan penghubung penting dalam operasi KLIA dan kumpulan komited memastikan kebolehpercayaannya. Penyelesaian kerja-kerja berjadual ini mencerminkan fokus kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.

“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang memberikan kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan yang lebih baik untuk semua pengembara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kontraktor Alstom turut menguji perisian isyarat aerotrain yang dikemas kini semasa kerja berjadual itu dijalankan.

Malaysia Airports mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye. KLIA sebagai lapangan terbang utama merupakan antara hab penerbangan pilihan di rantau ini. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast