SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket penipuan dan perjudian atas talian dalam beberapa operasi berasingan di Subang Jaya, Rawang, Hulu Selangor dan Sungai Buloh sepanjang Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 73 individu termasuk warga tempatan dan asing ditahan menerusi serbuan yang dijalankan hasil maklumat risikan serta aduan masyarakat.

“Dalam serbuan pada 28 Ogos lalu di sebuah kondominium di Subang Jaya, 12 lelaki bukan warganegara berusia 23 hingga 57 tahun diberkas kerana terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto palsu yang menyasarkan mangsa di Hong Kong dan Australia.

“Polis turut merampas 11 komputer riba, 32 telefon bimbit, sebuah modem dan tiga buku skrip yang digunakan untuk memperdayakan mangsa dengan nilai rampasan kira-kira RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Selain itu, katanya, pada 11 Ogos polis menahan 10 lelaki tempatan berusia 21 hingga 30 tahun di sebuah rumah teres di Rawang kerana menipu mangsa dari Singapura melalui pakej pelaburan tidak wujud.

Rampasan bernilai kira-kira RM45,000 termasuk sembilan komputer riba, 50 telefon bimbit, sebuah komputer, modem dan enam buku skrip.

Dalam kes ketiga pula, 17 individu termasuk seorang lelaki warga China ditahan pada 15 Ogos di sebuah banglo di Prima Beruntung, Rawang kerana terbabit dalam tawaran kerja sambilan palsu.

Polis merampas 15 komputer, 34 telefon bimbit, dua modem dan sebuah router dengan nilai anggaran RM75,000.

Sementara itu, Shazeli berkata, polis turut menumpaskan pusat perjudian atas talian dalam serbuan pada 30 Ogos lalu di sebuah rumah di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh.

“Seramai 34 individu ditahan termasuk seorang lelaki tempatan dan 33 warga asing yang berusia antara 19 hingga 33 tahun. Mereka beroperasi sejak empat bulan lalu menggunakan Facebook untuk menyamar sebagai wanita bagi menarik pelanggan luar negara mengakses laman web perjudian haram.

“Turut dirampas ialah 21 set komputer dan 22 telefon bimbit. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.

Beliau berkata, ujian air kencing kesemua suspek adalah negatif dan tiada rekod jenayah lampau dikesan, manakala mereka direman empat hari sehingga 3 September dengan permohonan sambung reman difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Menurut Shazeli, kejayaan itu membuktikan komitmen Polis Selangor membanteras jenayah penipuan dan perjudian yang memberi kesan buruk kepada masyarakat dari segi kewangan, sosial dan keselamatan siber.

“Setakat Januari hingga Ogos tahun ini, rekod menunjukkan kerugian akibat pelbagai kesalahan jenayah dalam talian mencecah RM515 juta.

“Angka ini membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan serta kesedaran masyarakat yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat terutama mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan kediaman seperti kondominium mewah dan banglo yang sering dijadikan lokasi operasi sindiket. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast