KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi MIC, Datuk RT Rajasekaran hari ini menggesa pucuk kepimpinan parti segera membuat keputusan mengenai kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, beberapa mesyuarat MIC peringkat negeri antaranya Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Selangor telah membangkitkan usul supaya parti mempertimbangkan keluar daripada BN.
“Pucuk pimpinan perlu membuat suatu keputusan muktamad dengan segera mengenai kedudukan MIC dalam BN.
“Keputusan yang jelas akan memberi kepastian kepada ahli-ahli parti serta membolehkan mereka bersiap sedia menghadapi PRU-16,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Rajasekaran menegaskan, suara akar umbi tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan sentimen sebenar ahli di peringkat negeri.
“Usul-usul yang dibawa ini adalah isyarat bahawa ahli-ahli mahukan kepimpinan segera memberikan halatuju yang tegas. Kita tidak boleh terus berada dalam keadaan samar-samar menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.
Perbahasan mengenai hala tuju MIC dalam BN hangat dibincangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas prestasi BN merudum dalam pilihan raya umum lalu.
Sebelum ini Presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran dilaporkan menyatakan bahawa landskap politik yang kian berubah memerlukan tindakan segera untuk memastikan MIC masih relevan. – MalaysiaGazette
















Bagus jika MIC & MCA keluar…selama ini kedua-dua parti ini tidak memberikan apa-apa kebaikan kerana mereka menang di kerusi yang disokong oleh orang melayu.
Seperti membawa biawak hidup kerana gerakerja semasa pilihanraya amat mendukacitakan oleh kedua-dua parti tersebut iaitu MIC & MCA.
Adakah mereka akan diberi kerusi yang didokongi oleh orang melayu dalam PN?
Adakah mereka berani bertanding ditempat DAP/PH?