SUBANG JAYA – Penebusan bantuan sebanyak RM100 melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tergendala sejak hari pertama dan kedua melalui pasaraya dan kedai runcit terpilih kembali beroperasi dengan lancar, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat beli-belah Mydin di sini mendapati, sebanyak lima kaunter termasuk laluan khas untuk warga emas dibuka untuk penebusan SARA dan tidak kelihatan troli barang yang ditinggalkan seperti mana berlaku sebelum ini.
Meskipun orang ramai terpaksa beratur panjang sehingga 10 meter dari kaunter sejak jam 8.30 pagi tadi, namun rata-rata pelanggan yang ditemui MalaysiaGazette berpuas hati kerana dapat menebus bantuan kerajaan itu.

Menurut Shuhada Heran, 61, dari Shah Alam, dia mengakui agak teruja untuk menebus bantuan SARA meskipun terpaksa menunggu lama hampir tiga jam untuk membuat bayaran.
“Alhamdulillah senang tebus, tapi yang membuatkan saya teruja lebih kurang dua jam setengah saya menunggu giliran (tebus SARA), sejak jam 8.30 pagi saya sudah berada di sini (Mydin).
“Mungkin kaunter ada masalah sebab apabila barang harian bercampur dengan barang SARA. Kita hanya tahu setakat RM100, apabila kita ambil barang, jumlahnya terlebih, itu menyebabkan (proses) agak terlewat sedikit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pusat beli-belah Mydin di sini, hari ini.
Shuhada berkata, meskipun kaunter tidak tergendala seperti mana sebelum ini, namun pengusaha pusat beli-belah perlu menyediakan laluan penebusan yang mencukupi khususnya untuk warga emas.
“Saya nampak ia jadi kesukaran kerana hanya satu kaunter sahaja dibuka untuk warga emas, saya pula orang kurang upaya, menyebabkan proses menjadi lambat.
“Biasanya warga emas ini dia akan turun sendiri, jadi perlu penambahbaikan, kalau boleh lebihkan jumlah kaunter kepada tiga laluan untuk warga emas untuk melancarkan penebusan SARA,” katanya.
Selain itu, katanya, dia sanggup mengorbankan peluang untuk membeli barang keperluan pada harga lelong di pasar raya lain demi untuk memudahkannya menebus bantuan RM100 itu.
“Walaupun hari ini Rosyam Mart buat jualan lelong, dengan kehadiran orang tebus SARA, lagi lambat, maka saya lari ke sini (Mydin), apatah sejak dulu saya selalu membeli belah di sini, saya tak sanggup tunggu lama lagi,” katanya.
Ditanya tentang jumlah bantuan itu, Shuhada berkata, dia berharap kerajaan dapat meneruskan program itu pada masa akan datang dan menambah jumlah bantuan itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.
“Saya nak tengok kelebihan yang kerajaan buat ini untuk rakyat Malaysia. Bagi saya RM100 tak cukup, saya sahaja kalau biasa belanja untuk sebulan RM300, ini belum lagi pakaian (sekolah) untuk anak lagi.
“Saya masih ada lagi tanggungan, anak-anak yang duduk dengan saya, kalau boleh bantuan SARA itu ditambah lagi,” katanya.

Bagi seorang suri rumah pula, Normie Ismail, 47, dari Shah Alam, dia dan suami memilih hari bekerja untuk menebus bantuan SARA bagi mengelakkan kesesakan dan menunggu lama ketika membuat bayaran.
“Hari ini okay lah, tidak berjam-jam sangat menunggu, saya sampai sini pukul 9 pagi lebih, sekarang (1.24 tengah hari) baru selesai, proses lancar tak macam hari pertama.
“Bagi orang tidak bekerja, macam saya suri rumah akan datang (tebus) pada hari bekerja. Saya dan suami, kami berdua tak bekerja, terpaksa juga datang sebab barang keperluan rumah sudah kurang,” katanya.
Normie mengakui dia antara penerima bantuan SARA yang terpaksa bertindak dengan meninggalkan troli barang pada hari pertama akibat sistem bantuan itu tergendala pada 31 Ogos lalu.
“Saya datang pada 31 Ogos, tapi barisan terlalu panjang, sampai ada yang menjerit-jerit hari itu, jadi saya tinggalkan barang (dalam troli), saya terpaksa balik.
“Kalau boleh orang tak bekerja datanglah hari biasa, orang bekerja pula datanglah Sabtu dan Ahad, lagi pun penebusan SARA ini boleh dibuat sampai hujung tahun ini,” katanya.
Katanya, aplikasi MyKasih banyak membantu dia dan suami untuk memahami cara penebusan dan senarai barang yang disenaraikan di bawah bantuan SARA.
“Proses tebus SARA sudah maklum lebih awal, suami pula dapat bantuan SARA bermula April lalu, mula-mula tak faham juga, bila diberitahu dengan juru wang, tengok balik sistem SARA, Alhamdulillah okay, tak susah laa, senang saja.
“Mydin sendiri ada letak tagging, tapi ada juga barang yang kita ambil, tapi tangging sentiasa berubah-ubah, kalau kita ada scan (apps MyKasih) itu senang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim Mahmud, 66, dari USJ 1 pula berkata, walaupun penebusan bantuan SARA itu mudah, namun pengusaha pusat beli-belah perlu menambah kaunter, khususnya untuk warga emas.
“Senang nak tebus, tinggal lagi terminal tak cukup, barisan pula panjang, hanya lima terminal sahaja dibuka di sini, jadi kena bersedia (fasiliti) sebab ada 22 juta orang yang dapat bantuan SARA ini, kena ada lebih terminal.
“Bantuan SARA ini habis sampai 31 Disember, sekarang ini orang ramai memang berpusu-pusu menebus RM100 ini. Senang tebus tiada masalah, terminal agak perlahan sebab waktu puncak sekarang.
“Saya hari ini pun menunggu lama, hampir satu setengah jam sebab laluan untuk warga emas panjang, bila terlampau ramai, dia sangkut, itu yang melambatkan,” katanya.
Abdul Halim turut berharap kerajaan dapat menambah jumlah barang yang tersenarai di bawah MyKasih dengan memasukkan barang basah termasuk ikan dan ayam.
“Mungkin tahun depan kerajaan boleh fikirkan semua barang, termasuk barang basah, sebab kita banyak beli barang basah (ikan, ayam).
“Harap kerajaan tidak memberhentikan (bantuan) kalau boleh sambung lagi tahun-tahun akan datang dan baucer itu ditambah lagi, sebab kos inflasi pun meningkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
LIPUTAN BERKAITAN:
SARA RM100: Bekalan Barangan Asas Mencukupi, Tiada Sebarang Aduan
Nilai jualan SARA catat RM75.3j pada hari ketiga
Jangan terburu-buru, SARA masih boleh guna dalam masa 4 bulan – Nie Ching
1.7 juta penerima SARA sudah belanja RM110j dalam dua hari
Suasana hari pertama SARA 100: Rakyat teruja, berterima kasih
Impak SARA RM100, RM2 bilion dilepaskan ke pasaran
SARA RM100 | Penghargaan Buat Rakyat, Lonjak Ekonomi Domestik
















