KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial bersama krunya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan menggunakan platform terapung untuk membawa sebuah kereta di tengah laut berhampiran Pulau Bidong, Kuala Terengganu petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, sebuah bot penumpang telah digunakan untuk menunda platform berkenaan yang turut membawa sebuah kereta manakala sebuah lagi bot bertindak sebagai pengiring.
Operasi penguatkuasaan yang dijalankan itu berjaya menahan dua buah bot bersama platform terbabit kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu.
“Bot pengiring tersebut dikesan beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut. Malah platform terbabit dibina tanpa peralatan keselamatan sekali gus mengundang risiko kepada kru, penumpang dan pengguna perairan lain.
“Platform itu juga dipercayai dijadikan lokasi penggambaran seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang dibawa di atasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang kesemuanya warga tempatan.
Manakala bot, kru dan penumpang telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar pukul 2 petang hari ini.
Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat lesen, beroperasi tanpa lesen sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim walaupun atas alasan kreativiti atau tujuan penggambaran.
“Maritim Malaysia menyokong usaha pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu agar menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di 09-6224357. – MalaysiaGazette
















