Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kesal terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan 41 daripada 60 kes jenayah berprofil tinggi melibatkan ahli politik sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Menurut Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif, keputusan itu mencetuskan kebimbangan rakyat kerana ia dilihat memberi gambaran seolah-olah wujud pilih kasih dalam proses perundangan negara.

“Alasan yang diberikan termasuk tidak cukup bukti, kepentingan negara atau faktor lain yang tidak munasabah tidak boleh diterima.

“Semua 41 kes ini wajib dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan secara terbuka,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Putra turut menegaskan bahawa peranan Peguam Negara adalah untuk mendakwa, bukannya menjadi hakim yang menentukan bersalah atau tidak.

“Peguam Negara bukan Hakim. Tugas AGC adalah membawa kes ke mahkamah. Hanya mahkamah yang berhak menentukan keputusan akhir,” katanya.

Tambah beliau, Putra juga menekankan bahawa tiada had masa untuk kes jenayah dan disebabkan itu, semua kes yang diklasifikasikan NFA harus disemak semula tanpa sebarang penangguhan.

Dalam pada itu Shahrulutfi menegaskan bahawa Putra meletak ketetapan supaya kes-kes jenayah tiada had masa dan wajib untuk disemak semula.

“Tiada individu kebal undang-undang. Prinsip “No one is above the law” mesti ditegakkan. Kepentingan awam mesti diutamakan. Rakyat berhak melihat proses keadilan yang telus.

“Reformasi institusi bermula dengan keberanian dan jika kerajaan benar-benar mahu menjaga integriti, tiada alasan untuk melengahkan tindakan,” ujarnya.

Pada masa sama, Putra turut mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu kesemua 41 kes NFA dibuka semula dan didakwa di mahkamah.

Katanya, perlu ditubuhkan badan pemantau bebas untuk menyemak semula kes-kes berprofil tinggi secara berkala dan perlu dibuat laporan berkala oleh AGC kepada Parlimen mengenai status kes-kes berprofil tinggi.

“Putra tidak menuduh mana-mana individu secara khusus. Kami hanya menuntut agar prinsip keadilan ditegakkan secara menyeluruh dan tanpa takut, demi memastikan sistem perundangan negara tidak tercemar,” jelasnya.

Beliau menambah, keadilan bukan milik eksklusif mana-mana golongan, tetapi ia Adalah hak bagi setiap rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast