Gambar ihsan SPRM.

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan beberapa cadangan penambahbaikan tatakelola pengurusan kontrak pemasangan struktur papan iklan luar di Melaka kepada Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Cadangan itu berdasarkan insiden pada 14 Julai 2024 di mana dua buah papan tanda iklan bersaiz besar telah tumbang di sekitar Bandar Hilir dan Bachang, Melaka.

Semakan ke atas fail kertas siasatan SPRM mendedahkan wujud kelemahan dalam kawalan dalaman pengurusan CMI berkaitan permohonan pemasangan struktur papan iklan luar oleh syarikat konsesi pengiklanan yang boleh membuka ruang dan peluang berlakunya jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie berkata, satu sesi khidmat nasihat telah diadakan bersama Pengurus Besar CMI, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh di Kompleks CMI pada minggu lalu.

Beliau berkata, antara cadangan utama yang dikemukakan ialah mewujudkan garis panduan komprehensif berhubung mekanisme pengurusan tatakelola pemasangan papan iklan luar di negeri ini.

“Cadangan lain, mewujudkan satu jawatankuasa empat penjuru bagi membincangkan kaedah terbaik bagi permohonan dan kelulusan lesen atau permit pemasangan papan iklan yang lebih telus, bebas serta professional.

“Langkah ini diambil bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan pengiklanan di Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahmad Azlan berkata, pihaknya bersetuju dengan syor penambahbaikan yang telah ditandatangani bersama SPRM Melaka dan ketika ini sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan itu.

“CMI juga akan mewujudkan satu jawatankuasa empat penjuru membabitkan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan serta Pejabat Daerah dan Tanah bagi membincangkan kaedah terbaik untuk permohonan dan kelulusan lesen serta permit pemasangan papan iklan di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast