KUALA LUMPUR – “Jika lapangan terbang antarabangsa utama di dunia boleh beroperasi dengan cekap tanpa aerotrain, mengapa Malaysia memilih untuk menggunakannya? Bukannya menyediakan hubungan lancar, aerotrain kini menjadi satu beban,” kata Pengerusi P. Ramasamy.
Dakwanya, gangguan demi gangguan yang berlaku pada perkhidmatan aerotrain yang menghubungkan penumpang antara terminal utama KLIA dan terminal satelit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 nampaknya tiada penghujung.
Katanya, aerotrain yang ditubuhkan pada tahun 1998, telah berfungsi tanpa insiden besar sehingga 2023.
Namun, selepas mengalami kerosakan pada Mac 2023, perkhidmatan ini digantung selama dua setengah tahun untuk kerja-kerja pembaikan besar yang menelan belanja sebanyak RM456 juta. Apabila ia dilancarkan semula pada 1 Julai 2025, gambaran yang diberikan ialah masalahnya sudah berakhir.
Malangnya, hanya sehari selepas pelancarannya semula, aerotrain mengalami satu lagi gangguan yang menyebabkan perkhidmatan tergendala sementara.
Pada 4 Julai 2025, perkhidmatan sekali lagi dihentikan akibat kebocoran air di dalam terowong.
Tambahnya, tidak sampai sebulan kemudian, pada 4 Ogos 2025, masalah teknikal menyebabkan perkhidmatan terhenti sebentar dan yang terbaru, pada 3 September 2025, gangguan kuasa menyebabkan salah satu tren berhenti beroperasi.
“Walaupun sejumlah besar wang telah dibelanjakan, aerotrain terus dibelenggu gangguan—sama ada teknikal berpunca daripada manusia, atau sebaliknya.
“Penjelasan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan pihak pengurusan langsung tidak meyakinkan, kerana masalah terus berulang tanpa penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwa beliau, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke nampaknya tidak mampu memahami cabaran kompleks perkhidmatan aerotrain, oleh itu tidak berupaya menasihati kerajaan dengan sewajarnya tentang kelangsungan perkhidmatan tersebut.
Pada tahun 2001, KLIA pernah menduduki tempat kedua lapangan terbang terbaik di dunia dan menjelang 2013, ia telah jatuh ke tangga ke-14.
Menurut Ramasamy, jika penarafan dilakukan hari ini, mungkin KLIA langsung tidak tersenarai dan kegagalan aerotrain hanyalah salah satu daripada sebab-sebabnya.
“Loke nampaknya tidak mampu memahami cabaran kompleks perkhidmatan Aerotrain dan oleh itu tidak berupaya menasihati kerajaan dengan sewajarnya tentang kelangsungan masa depannya,” ujar beliau.
“Tidakkah sudah tiba masanya kerajaan menilai semula sama ada mengekalkan aerotrain wajar dipertahankan dengan mengorbankan dana awam? Malah Pemuda MCA turut menggesa peletakan jawatan Loke, dengan alasan kegagalannya menyelesaikan isu-isu yang berpanjangan ini.
“Ada kemungkinan gesaan ini ada kewajarannya. Mungkin kerajaan perlu melantik seseorang yang benar-benar mampu menasihati dengan jujur sama ada aerotrain patut diganti terus,” tambah beliau.
Katanya, rakyat berhak mendapat sistem yang menyediakan hubungan yang boleh dipercayai tanpa membebankan pembayar cukai.
“Jika aerotrain sudah lapuk, maka ia patut dihentikan. Mengapa perlu terus memberi alasan? Rakyat Malaysia sudah muak dengan alasan-alasan rasmi bagi kerosakan yang berulang, sama ada nyata ataupun direka,” katanya. – MalaysiaGazette















