M Kumarasan

ISKANDAR PUTERI – Sepasang suami isteri yang sudah berpisah saling tuduh menuduh dengan masing-masing membuat dakwaan termasuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pasangan terbabit bulan lalu dengan dakwaan mencederakan dan melarikan anak.

“Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada bekas suami kepada wanita berusia 37 tahun itu yang melaporkan bahawa anak mereka iaitu kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun mengalami cedera semasa di bawah jagaan ibunya pada 23 Ogos lalu.

“Seterusnya wanita berkenaan pula membuat laporan bahawa anak perempuannya itu telah dibawa bekas suami dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 29 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jelasnya, pada peringkat ini pihak pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru memberi kebenaran kanak-kanak tersebut discaj kepada bapa kandung.

Menurutnya, ibu bapa kandung kanak-kanak tersebut masih lagi dalam proses membuat tuntutan hak penjagaan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Terdahulu tular dalam aplikasi TikTok yang memaparkan seorang wanita mendakwa bekas suaminya melarikan anak mereka dari Johor ke Kuala Lumpur hingga anak terabai sekolah.

Wanita itu juga mendakwa bekas suaminya membuat laporan polis palsu dan JKM sudah tiada unsur penderaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast