SHAH ALAM – Timbalan Presiden Bersatu memohon maaf kepada rakyat berhubung isu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang pernah bersama parti itu sebelum berpaling arah.
Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang mengakui keputusan tersebut memberi kesan besar kepada parti, namun menegaskan apa yang lebih penting kini adalah mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap perjuangan Perikatan Nasional (PN).
“Saya minta maaf kerana dahulu memang benar Hajiji merupakan wakil daripada kita. Tetapi beliau memilih untuk membawa sokongan bersama pihak sebelah sana. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.
“Kali ini insya-Allah rakyat akan kembali bersama kita, dan saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 di IDCC Shah Alam di sini hari ini.
Hamzah menegaskan, peluang PN untuk bertapak lebih kukuh di Sabah amat cerah memandangkan landskap politik negeri itu kini dipenuhi perbalahan sesama sendiri dalam kalangan pihak pemerintah.
“Kita sudah banyak kali meninjau sokongan di Sabah, dan saya merasakan peluang untuk kita bertapak di sana adalah besar. Rakyat melihat mereka (pihak lawan) bercakap soal kebersamaan, tetapi dalam masa yang sama bercakaran sesama sendiri. Keadaan ini jelas menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, strategi PN adalah memastikan rakyat Sabah diberikan pilihan kepimpinan yang lebih bersih, inklusif dan benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat, berbanding kepentingan kelompok tertentu.
“Yang penting bagi kita adalah memastikan rakyat mendapat sesuatu yang lebih baik. Kita bersedia berkali-kali untuk meyakinkan rakyat, kerana masa depan negeri ini mesti dipertahankan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada PN sudah mempunyai calon Ketua Menteri Sabah sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Hamzah hanya menjawab sudah ada tanpa mendedahkan nama.
“Sudah tentu kita ada. Tetapi siapa calon itu, biarlah diumumkan pada waktunya. Ini strategi utama kita,” tegasnya.
Hamzah turut menegaskanBersatu dan PN bukanlah parti eksklusif untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua kaum.
“Bersatu adalah parti yang paling inklusif dalam sejarah Malaysia. Kita ada kepimpinan bukan Melayu yang dilantik sebagai naib presiden parti. Ini membuktikan Bersatu bukan semata-mata parti untuk orang Melayu, sebaliknya parti untuk semua rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette















