SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menterinya seumpama `lembu kenyang’.
Dakwa beliau, kerajaan hari ini sering bersikap menafikan realiti, defensif serta enggan mengakui kesilapan, malah segala kesalahan diletakkan kepada rakyat, kerajaan terdahulu, atau pihak lain.
Malah, katanya, kerajaan hari ini juga tidak peduli pada keluh-kesah rakyat dan krisis yang sedang melanda melanda, dan kegagalan mengakui kelemahan serta sikap angkuh “kami sentiasa betul” menyebabkan tiada langkah pembetulan dilakukan.
Selain itu, tambahnya, dasar yang dibentangkan oleh Kerajaan Madani juga bercelaru, cenderung kepada retorik populis dan tidak konsisten.
“Segala yang berlaku hari ini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri bersama Jemaah Menterinya telah hilang arah dan tidak kompeten.
“Mereka gagal menunjukkan kemampuan mentadbir negara serta tiada hala tuju yang jelas.
“Mereka tidak mampu melihat gambaran besar, tidak berempati terhadap rakyat, tidak mesra perniagaan, dan tidak tangkas dalam menangani mahupun menyelesaikan krisis,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini malam ini.
Sehubungan itu, tambah Muhyiddin, kemenangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) bukan lagi sekadar kemenangan untuk membentuk kerajaan.
Sebaliknya, ujar beliau, ia kini telah menjadi satu tuntutan patriotik dan tanggungjawab besar untuk menyelamatkan serta memulihkan negara daripada kerosakan yang sedang dilakukan oleh kerajaan campuran hari ini dan mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.
“Kita akan rancakkan pertumbuhan ekonomi, tangani masalah kos sara hidup rakyat dengan lebih berkesan, rapatkan jurang antara kaum, kelas sosial dan wilayah, laksanakan reformasi institusi yang sebenar, serta kekalkan kestabilan politik, keharmonian kaum dan perpaduan nasional di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















