SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah mengesahkan wujud gerakan mengutip tanda tangan untuk menjatuhkan beliau.
Tegasnya, tindakan itu bercanggah dengan perlembagaan parti dan sekiranya beliau dijatuhkan melalui kutipan tanda tangan, semua pemimpin kanan Bersatu lain juga boleh dijatuhkan melalui cara yang sama.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Bersatu mempunyai Perlembagaan dan peraturan tersendiri, justeru mengajak ahli-ahli mematuhinya sekiranya mahukan parti tersebut bergerak tertib, elok, rukun dan damai.
“Berdasarkan sentimen rakyat, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sedang berada pada kedudukan yang terbaik untuk memenangi Pilihanraya Umum Ke-16 (PRU-16) dan membentuk kerajaan.
“Jadi, nasihat saya, hentikanlah adu domba. Elakkanlah sengketa sesama kita, buang segala sikap buruk yang melemahkan kita.
“Jangan jadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Jangan jadi seperti Lebai Malang, di sini terlepas di sana pun melepas,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini malam ini.
Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan ahli-ahli parti Bersatu yang mana kunci utama kejayaan dan kelangsungan mana-mana parti politik adalah perpaduan.
Menurut beliau, dengan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli, parti boleh memberi tumpuan kepada usaha untuk menyantuni rakyat, melaksanakan amanah perjuangan dan memperhebatkan gera kerja untuk memenangi pilihan raya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan yang mana banyak parti politik yang dahulunya besar dan gah, tetapi hari ini rebah apabila parti itu berpecah.
“Kita jangan ulangi kesilapan parti lain.
“Perpaduan di dalam parti hanya akan terbina apabila semua ahli faham perjuangan parti serta sayang dan cintakan parti.
“Apabila kita faham makna perjuangan, apabila tumbuh di dalam hati sanubari kita perasaan sayang dan cintakan parti, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan parti,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengingatkan ahli-ahli Bersatu supaya tidak menjadi batu api atau `batu ronson’.
Menurut beliau, ahli yang cintakan parti tidak akan melaga-lagakan sesama sendiri, malah jika ada perbalahan atau perselisihan faham, mereka mengambil peranan untuk mendamaikan.
Sebagai manusia, ujarnya, setiap ahli parti mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, justeru jika kekuatan semua ahli digandingkan, pastinya segala kelemahan dapat diatasi dan Bersatu akan menjadi sebuah parti yang kuat.
“Dengan niat untuk membina kekuatan parti inilah, saya dengan mandat Majlis Pimpinan Tertinggi telah mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin kanan parti sebelum pemilihan parti pada tahun lalu.
“Hasil rundingan inilah terbentuknya pasukan Bersatu yang ada di atas pentas di sini malam ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















