Hamzah Zainudin

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin penuh keyakinan Perikatan Nasional (PN) mampu merampas kembali tampuk kuasa di Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Berucap ketika merasmikan Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pagi tadi, Hamzah mengingatkan ribuan perwakilan bahawa Bersatu sudah pun membuktikan keupayaan mentadbir negara sebelum ini.

“Insya-Allah, kita akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi. Kita pernah memimpin negara, pertama kali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mampu memerintah dengan lebih baik berbanding kerajaan Madani hari ini,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh.

Hamzah menegaskan, pilihan raya umum akan datang bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya penentu nasib generasi masa hadapan.

“Pilihan raya akan datang adalah episod paling penting. Bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menentukan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita agar tidak menjadi pelarian di bumi sendiri. Inilah perjuangan kita sekarang,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan semua sayap agar bersiap siaga dari segi tenaga, masa dan kewangan bagi memastikan perjuangan parti mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, Hamzah juga mengkritik kerajaan kerana menurutnya tidak berani berdepan secara telus dengan pembangkang dan rakyat.

“Mereka tidak berani berdepan on the same playing field. Mereka sibuk dengan kepentingan sendiri, bukannya kepentingan rakyat. Tetapi kita bukan pengecut, kita adalah pejuang. Kita menentang kezaliman. We are the hope to the nation,” tegasnya.

Sambil menyeru hadirin supaya berani, lantang dan konsisten menyuarakan kebenaran, beliau menekankan keperluan membina semula keyakinan rakyat kepada PN.

“Kita wajib membuka harapan, melestari impian dan menanggung keyakinan yang tidak pernah padam,” katanya.

Ucapan Hamzah diiringi sorakan ‘Hidup Bersatu’ dan laungan semangat daripada perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu yang memenuhi dewan, sesekali menggunakan ungkapan  seperti ‘Bangunlah Bangun Berjuanglah’ yang membuatkan suasana semakin hangat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast