ISKANDAR PUTERI – Polis menahan samseng jalanan yang melakukan aksi ‘Superman’, wheelie dan lumba haram dalam operasi di Lebuhraya Nusajaya dan Lebuhraya LinKedua, arah Tuas di sini hari ini.
Operasi berkenaan yang diadakan pada awal pagi tadi melibatkan lapan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kumpulan motosikal yang terlibat lumba haram dan melakukan aksi berbahaya.
“Hasil risikan yang dijalankan telah berjaya menahan 20 buah motosikal dan seramai 20 individu berusia lingkungan 15 hingga 28 tahun diperiksa.
“Sebanyak 24 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi spesifikasi kenderaan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, JPJ turut menyita 13 buah motosikal bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada perlindungan insuran.
Beliau memberitahu, tiga individu berusia 18 hingga 20 tahun ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kenderaan disita bawah Seksyen 64 akta sama.
Pihak polis katanya, memberi amaran keras dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aktiviti samseng jalanan di daerah ini yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















