KOTA TINGGI – Seorang remaja maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Bandar Penawar-Punggai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian melibatkan kereta jenis Proton Wira pada pukul 3.35 petang.
“Hasil siasatan mendapati kereta dipandu S Satshehwaran yang berusia 19 tahun terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
“Dalam kemalangan tersebut pemandu tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan bedah siasat, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















