Syed Ibrahim bersama-sama penerima dalam Karnival Kerjaya MYFutureJobs Parlimen Ledang 2025 di Dewan Jubli Intan, Tangkak, hari ini.

TANGKAK – Jika sebelum ini mereka yang menjadi pekebun, penghantar barang, pereka grafik, pengasuh, penjual makanan, mekanik dan lain-lain seakan tiada jaminan sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

Namun menerusi Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri), skim itu memberi perlindungan keselamatan sosial kepada individu yang bekerja sendiri meliputi 20 sektor pekerjaan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, seramai 72 golongan bekerja sendiri di Parlimen Ledang hari ini boleh menarik nafas lega apabila menerima manfaat tajaan bantuan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, seramai 50 penerima mendapat perlindungan di bawah Lindung Kendiri manakala 22 lagi penerima menikmati perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih).

“Skim ini khusus untuk suri rumah kumpulan B40 yang sering menjadi tulang belakang keluarga. Secara keseluruhan, jumlah sumbangan yang disalurkan mencecah lebih RM10,000.

“Lindung Kasih ialah penjenamaan semula Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Perkeso yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu sebagai langkah strategik memperkukuh peranan dalam melindungi rakyat.

“Tajaan ini bukan sekadar bantuan caruman, tetapi satu pelaburan sosial yang membuktikan pentingnya jaringan keselamatan sosial.

“Ini ibarat benteng yang melindungi rakyat apabila berdepan risiko tidak diduga, sama ada kemalangan di tempat kerja, kehilangan pendapatan mahupun kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Karnival Kerjaya MYFutureJobs Parlimen Ledang 2025 di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Syed Ibrahim berkata, perlindungan melalui caruman tersebut adalah perisai keselamatan sekali gus dapat memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan bekerja sendiri terbela.

“Dengan adanya perlindungan sosial, para penerima dapat melaksanakan tugasan harian dan tanggungjawab mereka dengan lebih yakin dan selamat.

“Perkeso sentiasa ada melindungi rakyat, termasuk golongan bekerja sendiri dan suri rumah yang sering terdedah kepada risiko kewangan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran karnival itu bertepatan dengan kedudukan Johor yang merupakan negeri kedua terbesar daripada segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selepas Selangor.

Johor juga katanya, mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK terpantas di Malaysia pada 2024 iaitu 6.4 peratus.

“Dengan pertumbuhan pesat ekonomi Johor, kita memerlukan tenaga kerja yang berkualiti. Saya percaya karnival ini akan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Johor khususnya di Ledang untuk mendapat kerja yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast