Nie ching (tiga kiri) menyampaikan sumbangan mok cek kepada Mohd Anuar di Kampung Sungai Sayong, Kulai, hari Ini

KULAI – Tidak sampai dua hari van jenazah Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong 1, di sini, dicuri sebelum remuk dalam kemalangan Khamis lalu, komuniti kawasan itu sudah boleh menarik nafas lega.

Ini kerana Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching terpanggil untuk menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada surau tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, sebuah syarikat swasta dari daerah tersebut turut menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada pengurusan surau berkenaan.

“Saya terbaca laporan berita surau ini difahamkan amat memerlukan sebuah van jenazah (baharu) selepas ia dicuri dan terlibat dalam kemalangan.

“Justeru itu, saya telah meluluskan peruntukan dan pada masa sama sebuah syarikat tampil beri bantuan. Saya harap dengan jumlah keseluruhan bantuan RM20,000 ini dapat membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek kepada Pengerusi surau, Mohd Anuar Repan di surau berkenaan, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, van jenazah jenis Toyota Hiace itu dicuri di surau berkenaan oleh suspek yang berusia 21 tahun antara 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Bagaimanapun, katanya, van jenazah yang dilarikan suspek itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 2.30 pagi di Jalan Skudai di sini.

Suspek hanya mengalami kecederaan ringan pada muka dan kaki telah ditahan polis dan tiga rakan sejenayahnya sedang dikesan polis.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, sumbangan tersebut amat bermakna buat surau tersebut selain dapat membantu usaha mereka bagi mendapatkan kenderaan baharu.

Katanya, perkhidmatan van jenazah itu amat diperlukan dan kenderaan tersebut satu-satunya dimiliki surau tersebut dan perlu segera membeli van jenazah yang baharu.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan ini yang mana dapat kami gunakan untuk membeli van jenazah baharu untuk kegunaan masyarakat di sini,” katanya.

Van tersebut diperoleh daripada sebuah jabatan pada Disember tahun lalu melalui proses pelupusan harta dan belum sempat digunakan untuk pengendalian jenazah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast