PASIR GUDANG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mengambil keputusan tidak meneruskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) negeri itu bukan bermaksud BN bermusuh dengan GRS.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut membolehkan gabungan politik mencari pendekatan masing-masing untuk bertanding dalam PRN tersebut.
Jelas beliau, kerjasama antara UMNO dan BN dengan GRS bukan terhad untuk PRN-17 sahaja sebaliknya selepas boleh dilakukan selepas pilihan raya.
“Kita masuk pilihan raya tanpa kerjasama dengan GRS, hanya (kerjasama) dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi kita percaya melalui pengalaman kita.
“Selepas pilihan raya pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kemungkinannya selepas pilihan raya pun (UMNO dan BN) boleh bekerjasama dengan mana-mana parti,” ujar Khaled yang juga menteri pertahanan.
Terdahulu beliau menyempurnakan Program Penyampaian Zakat Wakalah di Pasir Gudang di Dewan Terbuka Taman Air Biru di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu selepas beberapa siri perbincangan bersama-sama PH dan GRS.
Terdahulu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, GRS akan meneruskan kerjasama dengan PH untuk PRN-17 dan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS.
Menurut Hajiji, keputusan kerjasama dengan PH dibuat selepas mengambil kira Kerajaan Sabah hari ini adalah gabungan GRS dan PH.
PH hormati keputusan BN tidak jalin kerjasama dengan GRS – Anwar
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH menghormati keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN-17 Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, gabungan itu tidak tersepit dalam keputusan berkenaan, malah akan terus berbincang bagi mencari penyelesaian.
“PH akan terus berbincang juga dengan BN dan GRS. Kita akan terus berunding, apa pun berunding dengan baik dan mencari penyelesaiannya,” ujar Anwar.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, kerjasama politik antara BN dan GRS tidak semestinya sebelum PRN-17 Sabah kerana perkara itu boleh wujud dalam banyak keadaan.
“Ada banyak keadaan. Kerjasama boleh dalam pelbagai bentuk. Pertamanya gabungan parti kerjasama secara dalaman, kerjasama antara parti, maknanya kerjasama dalam BN.
“Dalam BN kan banyak parti. Kemudian kerjasama BN dengan PH. Kita tak kerjasama dengan sebelum pilihan raya tetapi selepas pilihan raya ada kerjasama,” katanya.- MalaysiaGazette
UMNO, BN tolak kerjasama dengan GRS menjelang PRN Sabah – Ahmad Zahid
















