Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Harapan (PH) akan terus berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh UMNO dan BN yang tidak akan menjalin kerjasama politik dengan GRS pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun katanya, PH tetap akan bekerjasama dengan BN dan turut mengadakan perbincangan dengan GRS.

“Ya, Datuk Seri Zahid maklum dengan saya (tidak jalin sebarang bentuk kerjasama politik dengan GRS).

“Dalam perundingan itu nampak buntu. Kita doakan mudah-mudahan dalam bentuk kesepakatan. Tapi itu, kita hormati keputusan BN,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dn Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan GRS.

Tegasnya, pendirian itu diputuskan selepas diadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan melibatkan pimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO telah meneliti semua aspek serta maklumat berkaitan termasuk hasil perbincangan tiga pihak (tripartite discussion) sebelum membuat keputusan tersebut.

Sebelum ini, kerjasama antara UMNO, BN dan GRS sering menjadi persoalan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

PRN Sabah adalah medan penting untuk rakyat Sabah menilai siapa sebenarnya yang memperjuangkan hak dan masa depan negeri itu.

Kerjasama antara PH, BN dan GRS perlu dilihat secara objektif dalam konteks membina kestabilan, namun rakyat Sabah tidak seharusnya dipengaruhi oleh agenda yang cuba memecah-belahkan perpaduan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast