SHAH ALAM – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 yang berakhir hari ini bersetuju sebulat suara mencalonkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 daripada Bersatu.
Selain itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAT Bersatu 2025 turut bersetuju sebulat suara menyokong sepenuhnya usul ucapan dasar presiden serta menyokong Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.
Tambah beliau, PAT Bersatu 2025 kali ini berjaya dilaksanakan dengan kehadiran seramai 20 pembahas yang mengambil bahagian mewakili negeri-negeri, sayap-sayap dan wakil mahasiswa.
“Pembahas telah menghayati dan mengupas pelbagai isu termasuk kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat dan isu politik semasa,” katanya dalam kenyataan selepas PAT Bersatu 2025 berakhir hari ini.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, perwakilan PAT Bersatu 2025 juga bertekad untuk terus bekerja kuat di lapangan dan meningkatkan kemahiran jentera pilihan raya.
Terdahulu, PAT Bersatu 2025 turut mencetuskan kontroversi susulan insiden kekecohan dan pergelutan melibatkan segelintir perwakilan malam tadi.
Insiden itu berlaku ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar yang menyentuh mengenai percubaan untuk menjatuhkan beliau menerusi surat layang.
Ekoran kejadian itu, satu laporan polis turut dibuat dan Muhyiddin dalam sidang akhbar turut menjelaskan perkara tersebut telah diselesaikan secara berhemah secara dalaman parti. – MalaysiaGazette















